Pegawai MB mohon maaf seloroh gelaran 'Tok Undang'
Pegawai MB mohon maaf seloroh gelaran Tok Undang

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, memohon maaf kepada Undang Yang Empat berikutan tindakannya memetik gelaran Institusi Undang secara berseloroh pada program pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) Jumaat lalu.

Permohonan Maaf Secara Terbuka

Ahmad Shahir dalam kenyataannya berkata, sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran 'Dato Undang' kerana ia melibatkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, beliau memohon maaf di atas tindakannya berseloroh dengan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang juga Ahli Parlimen Seremban, dengan memetik gelaran yang diberi dalam media sosial kepada beliau sebagai 'Tok Undang'.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Atas kekhilafan tersebut, saya menginsafi dan berharap agar isu ini dapat menjernihkan kekeruhan yang berlaku," katanya.

Video Tular dan Manipulasi Naratif

Tular video ucapan Shahir semasa menjadi pengacara majlis yang antara lain menyebut: "Dekat Negeri Sembilan orang panggil YB Anthony Tok Undang tau… Tok Undang yang kelima….. saya persilakan YB Anthony."

Beliau menegaskan bahawa PH sentiasa menghormati serta mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga yang menjadi identiti dan kebanggaan Negeri Sembilan.

Ujarnya, naratif tular sejak 27 April lalu berkaitan isu itu telah dimanipulasi dan dimainkan pihak tertentu bagi mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap kerajaan negeri.

"Sehubungan itu, segala bukti berkaitan telah direkodkan dan didokumentasikan bagi tujuan memperjelaskan fakta serta kronologi sebenar kejadian.

"Kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai pihak yang bertanggungjawab memulakan dan menyebarkan isu ini," katanya.

Langkah Undang-undang

Ahmad Shahir berkata pada masa sama beliau menyerahkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan kepada pemilik akaun yang menyebarkan isu tersebut.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga