Naratif kaum semakin pudar menjelang PRU16, kata penganalisis
Naratif kaum pudar menjelang PRU16

Naratif politik berasaskan kaum dilihat semakin hilang pengaruh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) apabila pengundi kini lebih cenderung menilai prestasi pemimpin dan keupayaan parti menangani isu rakyat. Penganalisis politik berkata, gesaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya pengundi Melayu memilih calon Melayu tanpa mengira parti dijangka tidak banyak mengubah corak sokongan, khususnya di kawasan bandar dan kerusi campuran.

Pengundi Melayu Kini Lebih Matang

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) menyifatkan, pengundi Melayu kini lebih matang dan tidak lagi mudah dipengaruhi naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat. “Orang Melayu hari ini tidak terlalu selera dengan politik menghasut berbentuk perkauman kerana semua terkesan dengan isu lebih besar seperti kos sara hidup, harga barang dan peluang pekerjaan,” katanya kepada FMT.

“Saya yakin orang Melayu akan memilih orientasi parti dan pemimpin yang mempunyai prestasi cemerlang sebagai elemen utama dalam pilihan raya akan datang,” tambah Tawfik.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Gesaan Mahathir dan Persiapan Mukhriz

Menerusi surat terbuka di Threads sebelum ini, Mahathir menggesa pengundi Melayu mengutamakan calon Melayu pada PRU akan datang, tanpa mengira parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Katanya, pilihan pengundi Melayu pada pilihan raya itu akan memberi kesan besar terhadap masa depan negara, sambil memberi bayangan akan mengetengahkan calon tertentu. “Siapa dianya calon Melayu. Itu akan diberitahu semasa PRU,” katanya.

Tawfik berpandangan, kenyataan Mahathir bahawa identiti ‘calon Melayu’ hanya akan diumumkan ketika PRU memberi gambaran beliau sedang mempersiapkan presiden Parti Pejuang Tanah Air yang juga anaknya, Mukhriz Mahathir, untuk memainkan peranan lebih besar dalam politik menjelang PRU16. “Saya lihat beliau sedang mempersiapkan Mukhriz sebagai ‘calon Melayu’ tersebut. Sebab itu Pejuang memohon menyertai Perikatan Nasional sebagai jalan pintas untuk Mukhriz mendaki hierarki politik negara,” katanya.

Walaupun tidak menjangkakan Mukhriz menjadi perdana menteri dalam masa terdekat, Tawfik tidak menolak kemungkinan presiden Pejuang mampu muncul sebagai ‘kingmaker’ jika PN memperoleh keputusan memberangsangkan pada PRU16.

Sentimen Kaum Masih Wujud, Bukan Dominan

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan sentimen kaum masih wujud dalam politik negara, namun tidak lagi menjadi faktor dominan dalam menentukan pilihan pengundi. Katanya, gesaan Mahathir mungkin hanya memberi kesan kepada segmen kecil pengundi, terutama di kawasan majoriti Melayu, namun sebahagian besar rakyat kini lebih menerima kepelbagaian kaum dan hidup dalam masyarakat majmuk.

“Sebahagian besar rakyat sudah boleh menerima kaum lain dan hidup bersama secara harmoni. Perbezaan kaum bukan lagi satu masalah, malah dianggap sebagai kekuatan. Sentimen kaum dan agama masih akan wujud dalam politik menjelang PRU16, tetapi ia tidak lagi menjadi faktor dominan yang mempengaruhi keputusan pengundi, terutama di kawasan bandar dan kerusi campuran,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga