Mais arah mesyuarat segera selesaikan isu pengebumian lewat Ukay Perdana
Mais arah mesyuarat segera isu pengebumian lewat Ukay Perdana

SHAH ALAM, 29 Jun — Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengarahkan supaya satu mesyuarat segera diadakan antara waris si mati, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Pertubuhan Kebajikan Salatulrahim (BKS), dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyelesaikan isu berhubung dakwaan kelewatan pengebumian seorang jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.

Mesyuarat cari resolusi terbaik

Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin, berkata mesyuarat itu bertujuan mencapai resolusi terbaik untuk semua pihak yang terlibat serta memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa hadapan.

“Mais merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terjejas akibat dakwaan kelewatan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, dan melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas penderitaan yang dialami keluarga ketika dalam kesusahan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Mais memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab berdasarkan dapatan siasatan polis, sama ada perkara itu melibatkan jenayah, kecuaian, atau salah faham antara pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan polis berjalan

Salehuddin menambah bahawa Mais telah mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, pada Sabtu lepas berhubung dapatan awal siasatan berdasarkan maklumat daripada pengurusan masjid mengenai insiden tersebut.

Beliau berkata Mais juga telah dimaklumkan bahawa pengurusan masjid, keluarga si mati, dan BKS masing-masing telah membuat laporan polis berhubung insiden itu. Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan saksama.

Kaji semula prosedur pengurusan jenazah

Pada masa sama, Salehuddin berkata Mais akan mengkaji semula pengurusan prosedur pengurusan jenazah dan pengebumian Islam yang dijalankan oleh pengurusan masjid serta mengenal pasti bidang yang boleh diperbaiki.

“Ini bagi memastikan pengurusan jenazah umat Islam dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berintegriti, secara teratur dan cekap, serta mematuhi sepenuhnya kehendak syarak,” katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat Islam supaya terus mengukuhkan semangat perpaduan dan ukhuwah serta tidak membenarkan perbezaan pendapat dalam apa jua isu menjadi punca perpecahan dan permusuhan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga