Keluarga Zulfiqar Zamir desak siasatan bunuh selepas kemalangan maut
Keluarga Zulfiqar Zamir desak siasatan bunuh

PETALING JAYA, 12 Jun — Keluarga Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam mahu pemandu yang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia semasa dirawat di hospital disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Desakan Keluarga

Kakak si mati, Nur Amirah Afra, 25, berkata ketika siasatan dimulakan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana abangnya masih hidup, tetapi selepas kematian mangsa, keluarga berharap siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami hanya mahu keadilan untuk si mati dan tidak akan berhenti sehingga tindakan sewajarnya diambil, selain berharap kes ini dapat disiasat berdasarkan fakta bahawa si mati meninggal dunia akibat kemalangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Nur Amirah Afra berkata si mati meninggal dunia 18 hari lalu selepas 13 hari bertarung nyawa di hospital, namun keluarga masih menunggu perkembangan siasatan daripada pihak berkuasa dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat.

Wanita itu berkata keluarganya juga berharap kes itu melalui proses perundangan dengan betul kerana mereka bimbang pemandu yang dibebaskan dengan jaminan mungkin mengulangi kesilapan yang sama.

“Kematian abang saya memberi kesan besar kepada keluarga kerana dia adalah salah satu sumber pendapatan utama.

“Kami sangat kecewa kerana kematian abang saya disebabkan oleh kesalahan orang lain,” katanya, sambil mendakwa pemandu terlibat tidak pernah memohon maaf kepada keluarganya sejak kejadian itu berlaku.

Menurut Nur Amirah Afra, arwah abangnya, anak sulung daripada empat beradik yang bekerja sebagai penasihat perkhidmatan di sebuah syarikat automotif, juga bekerja sambilan sebagai persiapan untuk berkahwin pada Disember ini.

Kenyataan Polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey ketika dihubungi Bernama berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan dan pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya serta keputusan timbalan pendakwa raya.

Pada 18 Mei, seorang pembantu perancangan acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kecederaan serius kepada seorang penghantar p-hailing.

Low Kean Peng, 35, didakwa memandu kenderaan dengan paras alkohol 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi had 146 mg alkohol dalam 100 ml darah, menyebabkan kecederaan serius kepada Zulfiqar di Persiaran Kota di sini pada jam 12.35 tengah malam, 13 Mei.

Pada 25 Mei, Zulfiqar, 27, meninggal dunia selepas 13 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga