BUKIT MERTAJAM, 5 Julai — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memperhalusi garis panduan pengurusan jenazah untuk dijadikan rujukan seluruh negara, susulan satu isu yang tular baru-baru ini.
Jakim kemaskini garis panduan pengurusan jenazah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata usaha itu mengambil kira keperluan semasa serta enakmen dan undang-undang negeri.
“Beberapa negeri sudah mempunyai garis panduan sendiri, tetapi Jakim melihat keperluan untuk menambah baiknya menjadi rujukan yang lebih komprehensif.
“Jakim sedang memuktamadkan garis panduan untuk digunakan oleh negeri-negeri lain. Sesetengah negeri sudah ada garis panduan sendiri, tetapi kami akan menambah baik lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Multaqa Madani Ulama dan Umara Zon Utara di Masjid Timah, Permatang Pauh, hari ini.
Tempoh penyiapan garis panduan
Mengenai tempoh masa, Zulkifli berkata garis panduan itu akan disiapkan secepat mungkin sambil memastikan pematuhan dengan undang-undang negeri.
“Ia tidak sepatutnya mengambil masa lama kerana garis panduan asas sudah ada dan hanya perlu diperhalusi,” katanya.
Isu penangguhan pengebumian di Selangor
Mengenai isu tular berkaitan pengurusan jenazah di Selangor, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) – untuk diuruskan.
Beliau juga menyeru semua pihak supaya bertenang dan bekerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut tanpa menimbulkan perpecahan.
Sebelum ini, Mais mengarahkan satu mesyuarat segera antara waris, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan Jais bagi menyelesaikan dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang.
Pengerusi Mais Datuk Salehuddin Saidin berkata langkah itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak dan mencegah kejadian serupa pada masa hadapan. — Bernama



