Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menegaskan bahawa pengasas Reset, Hamzah Zainudin, tidak obses untuk menjadi 'poster boy' sebaliknya menumpukan usaha membina persefahaman politik yang lebih luas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perbincangan dengan pelbagai pihak
Menurut Saifuddin, Hamzah sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam usaha membina perpaduan Melayu yang pada masa sama menjaga kedudukan bukan Melayu dan golongan minoriti. Penggerak Reset peringkat nasional itu berkata pendekatan Hamzah bertujuan memastikan semua pihak memahami kedudukan dan peranan masing-masing dalam kerangka politik negara majmuk.
“Oleh kerana tidak 'obsessed' hendak menjadi poster boy, maka beliau telahpun mengadakan perbincangan dengan semua (dan diterima baik oleh semua), iaitu perwakilan kaum majoriti dan minoriti, terutamanya dalam usaha perpaduan Melayu yang menjaga kedudukan bukan-Melayu/minoriti.
“Agar semua pihak faham kedudukan dan peranan masing-masing. Tidak boleh berlaku tirani majoriti dan/atau anarki minoriti. Rakyat majmuk harus hidup bersama dalam budaya damai, termasuk dalam politik,” katanya dalam tulisan di 'Merentas Ruang' yang disiarkan Sinar Harian.
Pengumuman platform politik baru
Hamzah yang juga bekas ketua pembangkang dijangka membuat pengumuman berhubung platform politik barunya pada Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan, esok. Ahli Parlimen Larut itu dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis dengan Presiden Muhyiddin Yassin dan sehari kemudian beliau melancarkan gerakan Reset.
Timbul spekulasi bahawa beliau dan wakil rakyat yang menyokongnya akan bekerjasama dengan PAS, yang Isnin lalu mengumumkan menamatkan kerjasama dengan Bersatu, namun kedua-duanya setakat ini kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
Konfigurasi politik stabil
Saifuddin berkata, dalam konteks semasa, sukar untuk mana-mana parti memenangi PRU16 secara bersendirian, justeru Reset perlu memimpin sebuah parti politik dan menyertai gabungan yang sehaluan. Menurut bekas menteri itu, gabungan berkenaan pula perlu bekerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi membentuk konfigurasi politik yang stabil.
“Iaitu mendapat sokongan majoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti (atau sekurang-kurangnya sokongan signifikan) daripada kaum minoriti,” katanya sambil mendakwa kerajaan kini tidak mempunyai konfigurasi politik yang stabil.
“Kerajaan mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang selesa. Tetapi, ia mendapat sokongan minoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti daripada kaum minoriti, iaitu konfigurasi politik yang terbalik.”



