MUAR, 5 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempertikaikan hak orang Melayu, sekali gus menafikan naratif pihak tertentu yang cuba melabelkan parti itu sebagai rasis.
DAP tidak bantah tanah rizab Melayu
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata sebagai bukti, DAP tidak pernah membantah hasrat untuk mewartakan tanah seluas 20.23 hektar di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata sebagai pemimpin kerajaan perpaduan, adalah tanggungjawabnya untuk berlaku adil kepada semua kaum bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.
“Kita buat program (untuk masyarakat Melayu), Bumiputera, tambah peruntukan untuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), ia (DAP) tiada masalah.
“Tetapi saya kena pastikan program dengan orang Cina tidak dihalang. Orang Cina miskin kena bantu, orang India miskin kena bantu, majoriti orang Melayu miskin kena bantu,” katanya pada Program Temu Anwar di sebuah dewan restoran di sini hari ini.
Agihan kemakmuran secara adil
Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun negara kini mengalami ledakan ekonomi, keuntungan yang diperoleh harus diagihkan secara adil kepada semua lapisan masyarakat dan bukan untuk kepentingan peribadi individu tertentu.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara harus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat melalui penyediaan rumah yang selesa, kemudahan asas yang baik dan kualiti pendidikan yang lebih baik.
“Ekonomi berkembang, kita mahu ia diagihkan secara adil, pastikan rumah rakyat, gerai, kemudahan asas, kualiti pendidikan dipertingkatkan.
“Saya mahu anak-anak faham, kuasa adalah amanah untuk digunakan, bukan untuk memperkaya diri. Politik bukan tentang memperkaya diri. Politik adalah tentang khidmat,” katanya.
Pilihan raya negeri Johor menyaksikan 172 calon bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai dan pengundian awal pada 7 Julai.
Untuk berita terkini pilihan raya negeri Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor — Bernama



