Restoran Betawi Indonesian Cuisine memperkukuh peranannya sebagai duta budaya Indonesia di Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan Roemah Kebaya Vielga. Kerjasama ini mengetengahkan keunikan warisan kulinari dan fesyen tradisional negara jiran itu dalam satu platform yang interaktif.
Kolaborasi Kulinari dan Fesyen Tradisional
Kolaborasi itu menghimpunkan dua elemen penting budaya Indonesia – makanan dan pakaian tradisional – dalam usaha memperkenalkan kekayaan warisan negara berkenaan kepada masyarakat Malaysia secara lebih dekat. Majlis pelancaran restoran itu baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Raden Mohammad Iman Hascarya.
Beliau menyifatkan gastronomi sebagai antara bentuk ekonomi kreatif paling berkesan dalam mempromosikan identiti dan warisan sesebuah negara. “Masakan Indonesia mencerminkan kepelbagaian luar biasa kepulauan kami, dari Sabang hingga Merauke dan berfungsi sebagai jambatan semula jadi yang menghubungkan komuniti merentasi sempadan,” katanya.
Komitmen Perkukuh Ekonomi Kreatif
Turut hadir, Konsultan Betawi Indonesian Cuisine J Shamesh. Beliau berkata, majlis menandatangani kerjasama antara Betawi Indonesian Cuisine dan Roemah Kebaya Vielga mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi kreatif serta meningkatkan penghargaan terhadap warisan budaya antara kedua-dua negara.
“Pada masa depan, kita sedia membuka ruang baharu bagi perkongsian perniagaan dan memperkukuh hubungan antara rakyat Indonesia dan Malaysia. Kedutaan Republik Indonesia akan terus menyokong inisiatif yang mempromosikan industri kreatif Indonesia kerana usaha seperti ini melengkapi agenda lebih luas untuk mengeratkan hubungan dua hala dan memperdalam ikatan antara masyarakat kedua-dua negara,” katanya.
Misi Pertukaran Budaya Melalui Makanan
Betawi Indonesian Cuisine membawa misi memperkenalkan hidangan klasik Indonesia kepada rakyat Malaysia, selain menjadikan makanan sebagai medium pertukaran budaya dan pemahaman antara masyarakat. Pengurus Betawi, Siraj Al Munir, berkata kerjasama dengan Roemah Kebaya Vielga merupakan kesinambungan kepada usaha restoran itu dalam memelihara dan mempromosikan budaya Indonesia di peringkat antarabangsa.
“Betawi bukan sekadar sebuah restoran, tetapi sebuah platform untuk meraikan dan menghargai budaya Indonesia. Kami mahu pelanggan merasai pengalaman yang lebih menyeluruh, bukan hanya melalui makanan, tetapi juga menerusi keindahan busana tradisional dan hasil seni pertukangan Indonesia,” katanya.



