Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjanji akan membangkitkan isu kemerosotan harga durian yang menjejaskan pendapatan petani di Johor dalam pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, bulan depan. Janji itu dibuat semasa sesi turun padang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Tangkak, pada malam Ahad.
Anwar berkata, beliau akan menggunakan hubungan baik Malaysia-China untuk merundingkan akses pasaran yang lebih luas bagi durian Malaysia di China. Langkah ini diharap dapat meningkatkan permintaan dan menstabilkan harga durian yang kini merudum akibat musim puncak durian yang berlaku hampir serentak di Semenanjung Malaysia.
Rundingan dengan China untuk stabilkan harga durian
“Baik, saya janji satu perkara. Li Qiang, Perdana Menteri China, adalah kawan baik. Saya akan ke China bulan depan, dan saya mahu bangkitkan soal durian kerana saya lihat harga jatuh,” kata Anwar ketika berucap di hadapan penduduk setempat.
“China ada standard yang sangat tinggi, sangat tinggi. Tapi saya akan cuba berunding,” tambah beliau. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; dan calon PH bagi DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof.
Anwar menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan China perlu dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang perdagangan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pengeluar dan petani tempatan, terutamanya ketika berlaku lebihan bekalan.
Harga minyak Malaysia antara terendah di dunia
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia kekal antara negara yang menawarkan harga minyak paling rendah kepada rakyat melalui langkah intervensi kerajaan, walaupun tekanan harga minyak global akibat ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.
Beliau menjelaskan, konflik membabitkan Iran dan Amerika Syarikat telah memberikan tekanan kepada harga minyak berdasarkan prinsip ekonomi dan gangguan bekalan, namun kerajaan memilih untuk melindungi rakyat daripada kenaikan harga.
“Tiada negara di dunia yang harga minyaknya turun seperti Malaysia. Malaysia satu-satunya negara dengan harga minyak paling rendah di dunia. Tak mudah nak turunkan harga minyak. Kami (Kabinet) berbincang kerana saya tak sanggup (jika harga minyak naik).
“Kalau ikut prinsip ekonomi atau dasar, harga minyak mesti naik sebab gangguan bekalan. Tapi bagaimana dengan rakyat? Sebab itu saya tak setuju dengan kenaikan harga, dan kami kurangkan,” katanya.
Harga runcit minyak semasa dari 1 hingga 8 Julai ditetapkan pada RM3.37 seliter bagi RON95 dan RM3.97 seliter bagi diesel, tetapi rakyat menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah inisiatif Budi Madani.



