TLDM bubar Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah selepas sedekad beroperasi
TLDM bubar Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah selepas sedekad

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang terletak di perairan Semporna secara rasminya dibubarkan semalam selepas sedekad beroperasi sebagai benteng hadapan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara di Sabah Timur.

Majlis pembubaran penuh istiadat

Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan memaklumkan majlis pembubaran penuh istiadat itu disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Khir Junaidi Idris. Ia menandakan penamatan perkhidmatan pangkalan yang beroperasi sejak 31 Julai 2015.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan PL TSR digunakan sebagai sebuah platform strategik yang menyokong pelaksanaan operasi keselamatan maritim, pemantauan zon berkepentingan maritim serta memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Lokasi strategik untuk tindak balas pantas

Kenyataan itu memaklumkan lokasi strategik PL TSR membolehkan tindak balas yang pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan, sekali gus menjadi simbol komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, fungsi dan peranan PL TSR akan diambil alih oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran dan kesiagaan operasi TLDM di Sabah Timur.

Asal usul PL TSR

Pada asalnya, PL TSR adalah platform luar pesisir mudah alih dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Amerika Syarikat. Platform berkenaan kemudiannya ditransformasi menjadi pangkalan laut hadapan berteraskan keselamatan melalui kerjasama strategik TLDM, Petronas dan Sapura Kencana.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga