Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan bukan bertujuan untuk menghentikan semua lawatan rasmi atau perbelanjaan kerajaan, sebaliknya merupakan pendekatan pengurusan fiskal yang disasarkan untuk menyerap kos subsidi yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga minyak global.
Langkah penjimatan sebagai strategi fiskal
Menurut kenyataan MOF hari ini, kenaikan mendadak harga minyak mentah global akibat krisis di Asia Barat telah meningkatkan perbelanjaan subsidi negara secara signifikan. “Untuk membantu membiayai sebahagian kos subsidi tambahan ini, MOF telah mengeluarkan garis panduan mengenai langkah penjimatan kerajaan. Antara langkah yang dilaksanakan adalah mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen berjadual, mesyuarat wajib, dan perkara yang benar-benar penting serta memberi impak strategik kepada negara,” kata kenyataan itu.
MOF mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai respons terhadap laporan portal yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan sedang dilaksanakan.
Perkhidmatan kritikal tidak terjejas
Menurut kenyataan itu, langkah penjimatan diperkenalkan tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal untuk rakyat, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan. “Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) juga tertakluk kepada langkah penjimatan, seperti sekatan perjalanan rasmi ke luar negara, tiada had ke atas perancangan tenaga kerja, perolehan ubat-ubatan, pembelian peralatan perubatan, atau penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Malah, dalam ketidaktentuan rantaian bekalan global, KKM dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara telah menjalankan audit pantas untuk memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal kekal mencukupi dan sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti pada peringkat awal,” kata kenyataan itu.
Peruntukan kesihatan ditingkatkan
Bagi tahun 2026, kenyataan itu menyatakan KKM menyasarkan pelantikan lebih 18,000 anggota kesihatan, terdiri daripada 4,500 pegawai perubatan, lebih 3,500 jururawat dan hampir 1,000 pegawai perubatan pembantu, selaras dengan pelan asal dan tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun lepas.
“Peruntukan untuk ubat-ubatan juga telah dinaikkan kepada RM6.5 bilion tahun ini, berbanding RM6 bilion tahun lepas,” katanya, sambil menambah bahawa ini membuktikan langkah penjimatan tidak menjejaskan keutamaan kerajaan dalam memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Lawatan rasmi demi kepentingan strategik
Menjelaskan lebih lanjut, MOF berkata terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara, terutamanya apabila keadaan global terus berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan bekalan.
Menurut kenyataan itu, lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini telah membuahkan hasil dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara dan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka panjang Malaysia ketika pasaran global masih tidak menentu.
“Begitu juga, penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan dan kerjasama serantau adalah penting untuk menjaga kepentingan negara, mengukuhkan hubungan dengan rakan strategik dan memastikan Malaysia terus mempunyai akses kepada bekalan, pelaburan dan peluang ekonomi.
“Oleh itu, lawatan rasmi tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan jumlah perjalanan, tetapi pada tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai untuk negara dan rakyat,” menurut MOF.
Komitmen MADANI
Kenyataan itu juga menyatakan Kerajaan MADANI kekal komited untuk menguruskan kewangan negara secara berhemat, di mana perbelanjaan terkawal diketatkan manakala sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan untuk rakyat terus dilindungi.
“Pendekatan ini memastikan setiap ringgit digunakan secara optimum untuk menghadapi cabaran global, sambil melindungi kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya. — Bernama



