KDN mulakan proses tapisan 5,000 pelarian Rohingya untuk pemulangan ke Myanmar
KDN mula proses tapis 5,000 Rohingya pulang ke Myanmar

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan bagi penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar itu. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini susulan keputusan kerajaan Myanmar yang bersetuju menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia.

Proses tapisan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian

Beliau berkata, proses itu dilaksanakan menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23, dengan KDN bertindak sebagai agensi peneraju bersama beberapa agensi kawal selia berkaitan. “Proses DPP itu melibatkan beberapa peringkat termasuk mengesan, mengenal pasti, menjalankan tapisan keselamatan serta menentukan status setiap individu sebelum dokumen pengesahan status dikeluarkan,” katanya pada sidang media.

“Tapisan akan dibuat oleh polis dan Jabatan Imigresen Malaysia. Pada akhir proses itu, seseorang individu akan diberikan keputusan mengenai status pelariannya dan dokumen akan dikeluarkan bagi mengesahkan status tersebut selepas melalui proses berkenaan.”

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

22,000 penghuni depot imigresen seluruh negara

Saifuddin Nasution berkata, ketika ini terdapat kira-kira 22,000 penghuni di 19 depot imigresen seluruh negara, dengan kira-kira 4,000 dikenal pasti sebagai warga Myanmar. “Daripada jumlah itu, kita telah mengenal pasti 4,000 orang dari Myanmar. Mereka inilah yang akan menjalani proses tapisan dan akan ditempatkan di satu depot, bukannya berselerak di 19 depot, bagi memudahkan proses yang sedang kita jalankan,” katanya.

Penempatan di satu lokasi khusus itu bertujuan melancarkan urusan dokumentasi, semakan keselamatan serta penyelarasan antara agensi terlibat. Proses berkenaan kini sedang berjalan dan bukan lagi di peringkat perancangan, manakala urusan berkaitan perbincangan dengan kerajaan Myanmar selepas proses itu selesai akan diselaraskan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra).

Komitmen awal terima pulang 5,000 pelarian

Saifuddin Nasution berkata, komitmen awal yang dipersetujui bersama Myanmar adalah untuk menerima kembali 5,000 orang, namun proses mengenal pasti individu yang termasuk dalam jumlah berkenaan perlu dilakukan secara teratur bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan. Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan antara kedua-dua negara.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga