KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan intervensi awal terhadap projek perumahan 'sakit' yang terjejas akibat peningkatan kos pembinaan.
Pindaan Akta 118 perkukuh pemantauan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penambahbaikan dasar dan mekanisme di bawah Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) akan dilaksanakan bagi tujuan itu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat semalam, lapor Berita Harian hari ini.
“Kerajaan akan terus menilai dan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan kesan peningkatan kos pembinaan dalam sektor perumahan.
“Antaranya adalah penambahbaikan Akta 118 untuk memperkukuh pemantauan projek berisiko tinggi dan sakit, serta langkah intervensi awal bagi memastikan projek perumahan dapat diteruskan mengikut jadual dan tidak membebankan pembeli,” katanya.
Teknologi moden kurangkan kos
Nga berkata kementerian akan terus menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan yang lebih produktif dan cekap kos seperti Sistem Bangunan Berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan kaedah pembinaan moden lain untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh dan meningkatkan kecekapan jangka panjang.
Beliau berkata Skim Simen Rahmah juga akan membantu mengawal kos bahan binaan dan menyokong pembangunan perumahan mampu milik.
“Inisiatif ini menawarkan simen pada harga lebih rendah daripada pasaran dan telah diperluaskan kepada projek perumahan mampu milik di bawah kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.
“Langkah ini dijangka mengurangkan tekanan kos pembinaan dan menyokong penyediaan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat,” katanya.
Inisiatif pemilikan rumah diperkasa
Beliau menambah bahawa pelbagai inisiatif pemilikan rumah seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Sewa-ke-Milik (RTO) dan program perumahan mampu milik akan diperkukuhkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah walaupun kos sara hidup meningkat.



