Anwar bayang umum elaun pelajar Tingkatan 6 dalam Belanjawan 2027
Anwar bayang elaun pelajar Tingkatan 6 dalam Belanjawan 2027

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan 6 bakal diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027. Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan perkara itu ketika ini kerana menghormati peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung.

Cadangan Menteri Pendidikan dalam Kabinet

Anwar berkata, cadangan berhubung perkara itu telah dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini. “Saya tak boleh umum lebih daripada itu di Johor kerana ia melanggar peraturan pilihan raya. Tetapi perkara ini telah diangkat oleh menteri pendidikan dalam mesyuarat Kabinet beberapa ketika dulu. Saya kata tunggu semasa Belanjawan 2027, saya umumkan berita yang baik,” katanya ketika diajukan soalan berhubung kesediaan kerajaan memberi elaun kepada pelajar STPM pada sesi soal jawab Program ‘Temu Anwar Johor Kedepan’ di Muar.

Elaun Setara Pelajar Matrikulasi

April lalu, Anwar berkata kerajaan sedang meneliti pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan 6, sama seperti yang dinikmati pelajar Program Matrikulasi. Beliau berkata, perkara itu selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti membabitkan pelajar Tingkatan 6 dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Usaha Kurangkan Jurang Pendidikan

Menjawab mengenai usaha mengurangkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, Anwar berkata beliau sudah mengusulkan cadangan baharu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengatasi masalah itu. “Setiap daerah mulai sekarang akan memilih 10 sekolah rendah, 10 sekolah menengah di seluruh Malaysia sebagai ujian bagaimana kita boleh berikan tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan. Itu permulaan walaupun ada cara lain yang KPM sedang selenggarakan.

“Semua syarikat besar yang mendapat keuntungan besar, saya minta untuk mengambil sekolah angkat, sekolah rendah dan sekolah menengah angkat untuk bantu, memberi serta menambah kemudahan supaya diangkat martabat dan mutu pendidikan,” katanya. Tambahnya, KPM akan melakukan pemantauan, manakala Kementerian Kewangan (MOF) melakukan penyelarasan dengan syarikat gergasi di Malaysia.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga