Kolej Universiti i-CATS (ICATS) milik kerajaan Sarawak kini diiktiraf sebagai universiti penuh kedua selepas Universiti Teknologi Sarawak (UTS), kata Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan
Beliau berkata, pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan berteraskan teknologi di negeri itu.
“Kita sudah terima keputusan kerajaan pusat bahawa ICATS akan menjadi sebuah universiti penuh. Dengan status universiti penuh dan kampus baharu di Trombol, penuntut mempunyai segala kemudahan yang diperlukan. Apa yang penting seterusnya adalah untuk mengejar cita-cita masing-masing dan merealisasikan aspirasi demi masa depan Sarawak,” katanya menurut Harian Metro, di Kuching.
Program akademik berasaskan teknologi masa hadapan
Menurut Abang Johari, ICATS turut memperluaskan penawaran program akademik berasaskan teknologi masa hadapan, termasuk bidang aeroangkasa menerusi penubuhan fakulti baharu.
“Seperti yang diketahui, kita baru sahaja menubuhkan fakulti aeroangkasa di universiti terbabit. Mereka sudah mempunyai pensyarah yang bekerjasama dengan Technical University Istanbul, Turki. Pada masa yang sama, mereka juga bekerjasama dengan universiti-universiti tempatan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” jelas beliau.
Dengan status baharu ini, ICATS dijangka dapat menarik lebih ramai pelajar tempatan dan antarabangsa, serta memperkukuh lagi reputasi Sarawak sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini.



