Sektor tenaga Malaysia fokus kerjasama minyak Tatarstan, kata Anwar
Sektor tenaga Malaysia fokus kerjasama minyak Tatarstan

KAZAN, 17 Jun — Malaysia dan Republik Tatarstan mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi dan pembangunan bakat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbincangan dua hala dengan Rais Tatarstan

Perdana Menteri berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala dengan Rais (Ketua) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, sejurus selepas ketibaannya di sini pada Selasa.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata sektor tenaga adalah antara bidang utama perbincangan memandangkan Tatarstan merupakan salah satu wilayah pengeluar minyak utama di Rusia.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Setibanya di Kazan, saya bertemu dengan rakan saya Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, untuk bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan peluang kerjasama yang boleh diterokai untuk manfaat kedua-dua pihak.

“Kami melihat peluang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan dan petrokimia,” katanya dalam hantaran Facebook.

Forum Kazan dan pengiktirafan antarabangsa

Anwar berkata beliau dan Minnikhanov turut membincangkan peranan Forum Kazan dalam mengukuhkan hubungan perniagaan sambil mewujudkan peluang baharu dalam inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik.

“Semoga pertemuan ini mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak,” katanya.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafan sebagai Ibu Kota Budaya Islam Dunia 2026 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam, mencerminkan peranan bandar itu sebagai pusat ilmu, budaya dan inovasi Islam.

Beliau juga menyatakan penghargaan atas visi Presiden Vladimir Putin dalam menubuhkan Kumpulan Visi Strategik yang menjadi jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuh dialog dan kerjasama bermakna.

Lawatan kerja dan Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang bermula hari ini dan berlangsung selama dua hari.

Pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada jam 10.20 malam waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia pada Rabu).

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia adalah platform penglibatan peringkat tertinggi antara ASEAN dan Rusia, mencerminkan hubungan yang telah berkembang dengan ketara sejak hubungan dialog dimulakan pada 1991.

Rusia menjadi Rakan Dialog ASEAN sepenuhnya pada 1996, dan hubungan itu dinaikkan ke Perkongsian Strategik pada 2018, menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas kerjasama dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosiobudaya.

Kazan: Ibu kota ketiga Rusia

Terletak di pertemuan sungai Volga dan Kazanka di bahagian Eropah Rusia, kira-kira 800 kilometer timur Moscow, Kazan mempunyai populasi sekitar 1.3 juta dan sering dirujuk sebagai "ibu kota ketiga" Rusia selepas Moscow dan Saint Petersburg.

Bandar ini mempunyai sejarah menjangkau lebih 1,000 tahun dan diiktiraf secara meluas sebagai salah satu pusat kebudayaan dan warisan Islam terpenting di negara itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga