Subsidi bahan bakar bukan sekadar harga murah di pam minyak. Kerajaan menanggung kos besar bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan dapat teruskan kehidupan seperti biasa. Sewaktu cuti persekolahan baru-baru ini, hampir semua lebuh raya utama dan laluan ke destinasi pelancongan popular mengalami kesesakan luar biasa. Kenderaan bergerak perlahan, masa perjalanan bertambah panjang dan percutian keluarga yang sepatutnya menyeronokkan bertukar menjadi ujian kesabaran. Antara lokasi mencuri perhatian ialah Cameron Highlands di Pahang. Dilaporkan ada perjalanan sejauh 1km mengambil masa lebih dua jam. Situasi ini bukan sahaja meletihkan pengguna jalan raya, malah memberi kesan langsung kepada penggunaan bahan bakar. Apabila kenderaan bergerak perlahan, enjin terus hidup dan bahan api terus digunakan, walaupun jarak perjalanan tidak banyak berubah. Namun, isu ini tidak wajar dilihat dengan menyalahkan pengguna semata-mata. Rakyat bercuti kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga. Peniaga kecil bergantung kepada kehadiran pelancong, manakala sektor pelancongan memerlukan pergerakan orang ramai untuk terus berkembang. Kesesakan itu mencerminkan satu realiti lebih besar. Malaysia masih bergantung kepada petrol dan diesel untuk mobiliti harian, aktiviti ekonomi, logistik makanan, perjalanan kerja, penghantaran barangan dan perkhidmatan awam. Apabila jalan raya sesak, penggunaan bahan bakar kekal tinggi. Apabila harga minyak dunia meningkat pula, kesannya boleh dirasai rakyat jika tiada langkah perlindungan kerajaan.
Subsidi Sebagai Langkah Perlindungan
Dalam keadaan inilah keputusan kerajaan terus mengekalkan subsidi RON95 dan diesel bersasar perlu dilihat secara menyeluruh. Dunia ketika ini berdepan ketidaktentuan tenaga akibat ketegangan berterusan di Asia Barat. Ketegangan itu turut menjejaskan Selat Hormuz, antara laluan utama kapal dagang dunia untuk membawa minyak mentah dan sumber tenaga ke pelbagai negara. Apabila laluan penting itu berdepan kawalan ketat, risiko bekalan meningkat. Kos pengangkutan, insurans dan perdagangan turut terkesan. Kesannya, bekalan minyak mentah dunia boleh terganggu, manakala harga pasaran menjadi tidak menentu dan kekal tinggi. Dalam suasana global yang mencabar ini, kerajaan masih meneruskan subsidi bersasar RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95). Pada masa sama, diesel bersubsidi RM2.15 seliter masih dikekalkan di Sabah, Sarawak dan Labuan serta untuk sektor tertentu yang layak. Langkah ini bukan keputusan kecil. Ketika harga minyak dunia tidak menentu, kerajaan menanggung perbezaan antara harga sebenar dengan harga yang dibayar pengguna. Ini bermakna setiap liter petrol dan diesel bersubsidi yang digunakan rakyat turut melibatkan perbelanjaan besar daripada dana awam. Malah, kos subsidi kerajaan dilaporkan meningkat dengan ketara. Daripada purata sekitar RM700 juta sebulan sebelum ketegangan berlaku, perbelanjaan subsidi melonjak kepada kira-kira RM5 bilion pada Mei. Angka ini menunjukkan betapa besar komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat tidak dibebankan secara mendadak oleh kenaikan harga minyak dunia.
Perbandingan Serantau dan Impak Subsidi
Dalam konteks serantau, Malaysia masih menawarkan harga RON95 antara yang termurah berbanding negara jiran. Lebih penting, tiada catuan pembelian dikenakan kepada rakyat, sebaliknya kuota diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan menerusi BUDI95. Ini tetap memberi kelegaan kepada pengguna harian yang bergantung kepada kenderaan sendiri untuk bekerja, berniaga, menghantar anak ke sekolah atau mengurus keluarga. Tanpa subsidi, kenaikan kos bahan api boleh memberi kesan berantai kepada harga barang, kos pengangkutan, tambang, makanan dan perkhidmatan. Oleh itu, subsidi bahan api ialah instrumen penting untuk mengekalkan kestabilan kos sara hidup dan menjadi penampan daripada kejutan ekonomi. Namun, usaha kerajaan mengekalkan subsidi tidak bermakna sistem sedia ada boleh dibiarkan tanpa kawalan. Subsidi mesti dipastikan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. Di sinilah pentingnya pelaksanaan subsidi bersasar, khususnya ketika perbelanjaan kerajaan semakin besar akibat ketidaktentuan pasaran minyak dunia. Subsidi pukal yang terlalu terbuka boleh menyebabkan ketirisan. Ia boleh dinikmati pihak tidak sepatutnya, termasuk kenderaan asing, pengguna berpendapatan tinggi secara berlebihan atau sindiket penyeludupan yang mengambil kesempatan daripada perbezaan harga antara Malaysia dengan negara jiran. Ketika krisis tenaga global berlaku, ketirisan seperti ini menjadi lebih serius. Setiap liter petrol atau diesel bersubsidi yang diseludup keluar melalui sempadan Thailand, Indonesia di Kalimantan atau Singapura adalah kerugian kepada negara. Lebih penting, ia mencuri manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia. Sebab itu penguatkuasaan di kawasan sempadan terus diperkukuh. Jika tidak dikawal, perbelanjaan subsidi besar tidak akan mencapai matlamat asalnya, iaitu membantu rakyat dan sektor ekonomi yang benar-benar memerlukan.
Subsidi Bersasar: Lebih Adil dan Mampan
Pakar ekonomi dan ahli akademik sering menegaskan subsidi bersasar lebih adil dan mampan berbanding subsidi menyeluruh. Subsidi pukal kelihatan mudah kerana semua orang menikmati harga sama. Namun, kumpulan berpendapatan tinggi atau pengguna bahan api yang besar sering menerima manfaat lebih banyak berbanding golongan berpendapatan rendah. Dalam keadaan kewangan kerajaan yang perlu diurus berhati-hati, setiap ringgit subsidi mesti dibelanjakan secara berkesan. Wang awam yang bocor kepada pihak tidak layak bermakna kurang peruntukan untuk perkara lain yang juga penting, seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, infrastruktur luar bandar dan bantuan tunai kepada golongan rentan. Penting juga difahami pemberian subsidi bukan satu obligasi mutlak kerajaan yang boleh diteruskan tanpa had. Sebaliknya, dasar meringankan beban rakyat. Keupayaan kerajaan mengekalkan subsidi bergantung kepada kedudukan kewangan negara, harga minyak dunia dan keutamaan perbelanjaan awam. Justeru, komunikasi awam perlu terus diperkukuh. Rakyat wajar diberi penjelasan harga di pam minyak tidak berlaku secara automatik sebaliknya ditampung kerajaan. Apabila harga minyak dunia meningkat, kos mengekalkan subsidi juga meningkat.
Peranan Pihak Berkuasa Tempatan
Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan. Di kawasan tumpuan pelancong seperti Cameron Highlands, pengurusan trafik, tempat letak kereta, bas ulang-alik dan kawalan aliran masuk kenderaan perlu dirancang dengan lebih baik. Isu kesesakan tidak boleh dilihat sebagai masalah lalu lintas semata-mata, sebaliknya turut berkait dengan penggunaan tenaga dan kos ekonomi. Keputusan kerajaan terus mengekalkan subsidi RON95 dan diesel membuktikan komitmen melindungi kesejahteraan rakyat ketika dunia berdepan ketidaktentuan tenaga. Namun, perlindungan ini mesti disertai disiplin fiskal, penguatkuasaan tegas dan sistem penyasaran yang adil selain penggunaan berhemah oleh semua sektor serta pengguna. Sebab itu, rakyat dan pengusaha perlu terus berdepan sebarang kemungkinan pada masa depan jika keadaan global meruncing.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



