KUALA LUMPUR, 4 Jun — Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia akan turun masing-masing 30 sen dan 20 sen kepada RM4.35 dan RM3.72 seliter, berkuat kuasa 4 hingga 10 Jun ini.
Pengumuman Kementerian Kewangan
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga diesel di Semenanjung Malaysia juga akan dikurangkan sebanyak 20 sen, daripada RM4.87 kepada RM4.67 seliter, bagi tempoh yang sama.
Menurut MOF, pelarasan harga runcit itu adalah selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi minggu ini, yang diturunkan berikutan penurunan harga purata pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.
Subsidi Kekal untuk Rakyat
Dalam tempoh yang sama, Kerajaan MADANI akan mengekalkan harga bersubsidi bersasar untuk rakyat dan sektor terpilih, meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter, dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Kementerian itu berkata pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.
“Ini bermakna Kerajaan Madani menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan sepenuhnya kelayakan BUDI95. Walau bagaimanapun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya akan membayar sehingga RM398 sebulan untuk penggunaan penuh kelayakan tersebut.
“Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter adalah lebih dua kali ganda daripada harga bersubsidi RM2.15 seliter, membantu mengurangkan kesan harga diesel ke atas rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,” kata kenyataan itu.
Risiko Pasaran Minyak Global
MOF berkata penurunan harga runcit minggu ini tidak mencerminkan pasaran petroleum global yang stabil, sebaliknya risiko bahawa harga minyak mentah dan produk petroleum akan kekal tinggi dalam jangka sederhana akibat konflik dan perkembangan semasa di Asia Barat.
“Baru-baru ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi mengimbangi gangguan bekalan dari Asia Barat. Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke tahap rekod, peningkatan itu masih tidak mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, walaupun harga pasaran purata mencatat penurunan pada minggu sebelumnya. Sekiranya konflik berterusan, risiko kehabisan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu ke atas harga minyak mentah dan produk petroleum dalam tempoh akan datang,” kata MOF.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah bagi membantu memastikan keselamatan bekalan negara. — Bernama



