KUALA LUMPUR, 4 Jun — Tenaga Nasional Bhd (TNB), melalui anak syarikat tidak langsungnya Integrax Bhd, dan Petronas Gas Bhd (PetGas) telah menandatangani satu perjanjian untuk membangunkan terminal regasifikasi ketiga (RGT-3) di Lumut, Perak secara bersama.
Kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas selepas pelaksanaan perjanjian pemegang saham untuk membangunkan projek tersebut, menurut mereka dalam pemfailan berasingan di Bursa Malaysia hari ini.
“RGT-3 akan dibangunkan berdasarkan konsep unit regasifikasi simpanan terapung (FSRU), di mana proses penyimpanan dan regasifikasi gas asli cecair (LNG) akan dijalankan di atas FSRU,” kata mereka.
Kedua-dua syarikat berkata LNG yang telah diregasifikasi kemudiannya akan diangkut melalui saluran paip penghubung dari RGT-3 ke kemudahan darat dan tambatan ke sistem penggunaan gas Semenanjung.
Menurut PetGas, RGT-3 direka dengan kapasiti simpanan LNG sebanyak 170,000 meter padu dan kapasiti hantaran regasifikasi sebanyak 500 juta kaki padu standard sehari (MMscfd).
Kapasitinya dijamin oleh TNB Fuel Services Sdn Bhd secara berperingkat, dengan kapasiti penuh dijamin mulai 2030 dan seterusnya.
TNB berkata pembangunan RGT-3 kini dirancang untuk dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuiti. — Bernama



