Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengesahkan dua syarat baharu bagi import kenderaan elektrik (EV) yang dipasang sepenuhnya (CBU) berikutan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun pada 31 Disember 2025.
Syarat Baharu Bermula Julai 2026
Menurut kenyataan MITI, semua EV CBU yang diimport mulai 1 Julai 2026 akan tertakluk kepada nilai minimum kos, insurans dan friet (CIF) sebanyak RM200,000. Syarat kedua ialah pengurangan ambang kuasa motor minimum daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas.
Kementerian itu menjelaskan bahawa dasar untuk EV CBU import telah kembali kepada peraturan sedia ada selepas tempoh pengecualian berakhir. Walau bagaimanapun, syarikat yang mempunyai stok baki, termasuk kenderaan yang sudah berada dalam inventori, di pelabuhan atau dalam transit, masih dibenarkan menjualnya di bawah syarat pengecualian sebelumnya sehingga stok habis.
Makluman kepada Pemegang AP Francais
MITI memaklumkan bahawa pemegang AP francais telah dimaklumkan mengenai pelarasan ini semasa sesi libat urus yang diadakan pada 30 April lalu. “MITI tetap komited untuk memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten dan seimbang dalam menyokong pembangunan industri automotif sambil melindungi kepentingan ekonomi negara dan hak pengguna kenderaan,” katanya.
Kenyataan ini susulan laporan oleh paultan.org yang mendakwa syarat-syarat ini akan “menyingkirkan” pelbagai EV julat pertengahan, hanya meninggalkan pilihan premium.



