Kerajaan tawar diskaun 10% beli rumah di AREC 2026, pemaju menangi 14 anugerah FIABCI
Diskaun 10% beli rumah di AREC 2026, pemaju menangi 14 anugerah

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Kerajaan menawarkan diskaun 10 peratus bagi pembelian rumah semasa Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 29 Julai hingga 1 Ogos.

Inisiatif diskaun rumah di AREC 2026

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu diperkenalkan melalui kerjasama antara kementeriannya dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi meringankan beban kewangan pembeli rumah, terutamanya dalam memenuhi deposit 10 peratus yang diperlukan di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA).

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan persidangan empat hari itu, yang akan menampilkan forum, sesi padanan perniagaan dan pameran yang dijangka menjana urus niaga bernilai RM1.5 bilion.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Inisiatif Simen Rahmah

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperkenalkan inisiatif Simen Rahmah untuk membantu industri menangani kos pembinaan yang meningkat dengan menyediakan 1.6 juta tan metrik simen kepada pemaju yang membina rumah mampu milik.

“Ini bagi memastikan harga rumah kekal mampu milik, bukan sekadar impian tetapi benar-benar mampu milik. Itu sangat penting kerana slogan kita adalah ‘Rumahku, Syurgaku’. Kami mahu rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memiliki rumah berkualiti. Itulah aspirasi kami,” katanya.

Kejayaan pemaju Malaysia di FIABCI

Beliau berkata demikian kepada pengerita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pemaju yang diadakan sempena Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2026 di sini semalam.

Mengulas pencapaian pemaju hartanah tempatan pada anugerah itu, Nga berkata Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan selepas memenangi 14 anugerah terdiri daripada lapan pingat emas dan enam pingat perak dalam pelbagai kategori.

Pemenang pingat emas termasuk Park Regent @ Desa ParkCity dalam kategori Kediaman (Bangunan Tinggi); The Mansions @ ParkCity Hanoi dalam kategori Kediaman (Bangunan Rendah); Merdeka 118 untuk Pejabat Terbaik dan Pembangunan Mampan; Elmina Lakeside Mall dalam kategori Runcit; Sunway Velocity Two (Fasa 1) dalam kategori Pembangunan Guna Campur; Gamuda Gardens dalam kategori Pelan Induk; dan Diamond Precinct, Vietnam, dalam kategori Kediaman (Bangunan Sederhana).

Malaysia jadi juara keseluruhan

Menurut Nga, pencapaian itu menunjukkan pemaju hartanah Malaysia bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa malah telah menetapkan penanda aras bertaraf dunia, dengan Malaysia memenangi 135 pingat emas di peringkat global sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1992.

Beliau berkata kejayaan itu juga menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia bersedia untuk bersinar di pentas global.

“Ini pastinya menjadi pemangkin kepada keyakinan global terhadap pemain industri hartanah Malaysia. Itulah sebabnya kita melihat syarikat Malaysia, termasuk ParkCity Group di Vietnam, SP Setia di Australia, OSK Property di Melbourne dan EcoWorld di London, berjaya mengembangkan perniagaan ke luar negara.

“Inilah aspirasi kerajaan Malaysia – supaya syarikat kita menjadi juara bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di pentas dunia,” katanya, sambil menambah Perdana Menteri juga dijadualkan melancarkan Dasar Perumahan Negara pada 30 Julai. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga