KUALA LUMPUR, 7 Mei — Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah melantik Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan (PGCE) baharu, berkuat kuasa 1 Julai 2026, berikutan persaraan Datuk Abdul Rahman Ahmad.
PNB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Rizal Rickman, yang kini memegang jawatan timbalan PGCE, akan memegang peranan sebagai pemangku PGCE sebelum pelantikan rasminya.
“Rizal Rickman membawa lebih lapan tahun kepimpinan progresif di PNB, setelah meningkat naik dalam organisasi daripada mengetuai bahagian hartanah, pasaran swasta, pelaburan strategik, dan bahagian tadbir urus pelaburan kepada peranan terkininya sebagai timbalan PGCE, di mana beliau mengawasi strategi dan operasi seluruh kumpulan,” kata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu.
Rizal Rickman menyertai kumpulan itu pada 2018 dan sebelum ini berkhidmat sebagai rakan pengurus negara untuk Malaysia di Boston Consulting Group.
“Rizal Rickman akan menyediakan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan ketika PNB maju dengan kukuh untuk melaksanakan Pelan Strategik LEAP-6 semasa dan merancang pertumbuhan masa depannya selaras dengan tujuan PNB untuk meningkatkan kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi,” kata PNB.
Abdul Rahman akan bersara daripada semua peranan eksekutif selepas tamat kontrak dua tahun dengan PNB, dengan hari bekerja efektif terakhirnya pada 31 Mei 2026. — Bernama



