KUALA LUMPUR, 12 Mei — Bursa Malaysia melonjak untuk ditutup lebih tinggi pada hari ini berikutan pembelian terpilih dalam saam utama selepas ditutup rendah dalam dua sesi dagangan sebelumnya, menurut penganalisis.
Pada pukul 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 5.25 mata atau 0.30 peratus kepada 1,750.56 daripada penutup Isnin sebanyak 1,745.31.
Indeks utama, yang dibuka 3.14 mata lebih kukuh pada 1,748.45, bergerak antara 1,748.45 dan 1,755.54 sepanjang sesi hari ini.
Keadaan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mendahului kaunter rugi, 590 berbanding 583. Sebanyak 595 kaunter tidak berubah, 897 tidak didagangkan, dan 11 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.92 bilion unit bernilai RM3.59 bilion berbanding 4.20 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran kekal berhati-hati di tengah-tengah harga minyak mentah yang tinggi, yang boleh terus membebani sentimen pelabur dan menimbulkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi.
Beliau berkata walaupun sokongan pembelian terpilih masih kelihatan dalam kaunter defensif dan berkaitan indeks, penyertaan pasaran yang lebih luas kekal agak perlahan kerana pelabur mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik yang berterusan.
“Namun begitu, keupayaan FBM KLCI untuk melonjak selepas kelemahan baru-baru ini menunjukkan sokongan asas masih utuh, didorong oleh pembelian murah dan kecairan domestik yang stabil.
“Memandang ke hadapan, kami menjangkakan indeks utama akan didagangkan dalam julat yang berhati-hati dan terhad, dengan kemungkinan turun naik sekali-sekala apabila pelabur terus memantau perkembangan geopolitik dan pergerakan harga minyak,” katanya kepada Bernama.
Bagi baki minggu ini, Thong menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam julat 1,720-1,760.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi yang lebih kukuh dalam sektor kitaran juga menunjukkan bahawa pelabur secara beransur-ansur beralih semula ke arah segmen sensitif pertumbuhan di tengah-tengah keadaan pasaran yang stabil.
“Namun begitu, sentimen dagangan keseluruhan kekal terpilih kerana pelabur terus memantau perkembangan luaran, terutamanya trend inflasi AS dan dinamik geopolitik, yang boleh mempengaruhi arah jangka pendek pasaran serantau,” tambahnya.
Antara saham utama, Maybank dan Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM11.24 dan RM14.78, manakala IHH Healthcare naik sembilan sen kepada RM9.03. Public Bank turun satu sen kepada RM4.84, dan CIMB jatuh tiga sen kepada RM7.90.
Dalam kalangan saham paling aktif, Genetec naik 11 sen kepada 36 sen, Oppstar meningkat 12.5 sen kepada 80.5 sen, dan VS Industry tidak berubah pada 21 sen. Sementara itu, Zetrix AI turun tiga sen kepada 82.5 sen dan SMRT turun setengah sen kepada 27.5 sen.
Antara kaunter untung tertinggi, Malaysian Pacific naik RM1.26 kepada RM42.26, UMS Integration meningkat 88 sen kepada RM8.0, Hong Leong Industries naik 40 sen kepada RM19.30, manakala Kelington naik 33 sen kepada RM6.53.
Kaunter rugi tertinggi termasuk Nestle, yang turun RM1.46 kepada RM99.74, Batu Kawan turun 32 sen kepada RM21.08, Petronas Dagangan turun 26 sen kepada RM20.32, Hong Leong Bank susut 24 sen kepada RM22.10, manakala United Plantations lemah 22 sen kepada RM30.30.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.77 mata kepada 12,954.37, Indeks FBMT 100 meningkat 23.72 mata kepada 12,794.68, Indeks FBM Emas Syariah naik 30.16 mata kepada 12,874.30, Indeks FBM ACE naik 52.48 mata kepada 4,728.28, manakala Indeks FBM Mid 70 turun 28.39 mata kepada 18,533.07.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.87 mata kepada 20,301.30, dan Indeks Perladangan susut 40.02 mata kepada 8,798.06. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.91 mata kepada 198.67, dan Indeks Tenaga sedikit tinggi sebanyak 0.64 mata kepada 807.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.79 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran sedikit lebih tinggi pada 1.07 bilion unit bernilai RM148.0 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM144.27 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.05 bilion unit bernilai RM412.60 juta daripada 690.15 juta unit bernilai RM227.39 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 265.55 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (632.68 juta), pembinaan (166.17 juta), teknologi (956.18 juta), perkhidmatan kewangan (59.59 juta), hartanah (235.83 juta), perladangan (24.78 juta), amanah pelaburan hartanah (20.43 juta), dana tertutup (47,000), tenaga (93.99 juta), penjagaan kesihatan (210.77 juta), telekomunikasi dan media (26.81 juta), pengangkutan dan logistik (55.40 juta), utiliti (44.61 juta), dan amanah perniagaan (380,700). — Bernama



