KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada dagangan Rabu apabila pelabur mengambil untung dalam saham berkaitan minyak berikutan berita keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.
Indeks utama merosot
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 9.18 mata atau 0.53 peratus kepada 1,720.42 daripada penutup Selasa pada 1,729.60. Indeks penanda aras itu, yang dibuka 2.05 mata lebih tinggi pada 1,731.65, bergerak dalam julat 1,718.45 hingga 1,733.84 sepanjang sesi.
Kejatuhan indeks utama itu turut sejajar dengan prestasi lemah Wall Street semalaman, apabila pelabur beralih kepada pendekatan defensif menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat lewat malam ini, kata Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan.
Pasaran luas negatif
Pasaran luas adalah negatif dengan jumlah kaunter rugi melebihi untung 617 berbanding 485. Sebanyak 619 kaunter tidak berubah, 970 tidak diniagakan dan 112 digantung. Jumlah dagangan merosot kepada 3.63 bilion unit bernilai RM3.13 bilion berbanding 3.85 bilion unit bernilai RM3.38 bilion pada Selasa.
Mohd Sedek berkata sentimen semasa menambah lagi lapisan ketidaktentuan kepada pasaran tenaga global, selain kemelut semula dalam ekosistem kecerdasan buatan yang terus mendorong pengurangan risiko secara bersela merentas segmen teknologi dan pertumbuhan.
“Tekanan jualan adalah meluas, dipimpin oleh pembetulan ketara dalam saham berat perbankan, dengan semua kaunter kewangan FBM KLCI ditutup dalam wilayah negatif, menunjukkan penyesuaian semula jangkaan kadar faedah apabila pasaran semakin menjangkakan dasar kadar tinggi yang lebih berpanjangan.
“Sektor perbankan yang menyokong ketahanan indeks baru-baru ini melalui kestabilan pendapatan dan pengembangan margin, kini berdepan cabaran jangka pendek daripada penilaian semula jangkaan pemotongan kadar dan normalisasi secara beransur dalam dinamik margin faedah bersih,” katanya kepada Bernama.
Peluang beli saham kukuh
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuitas Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata jualan hari ini memberi peluang untuk membeli saham kukuh pada tahap lebih menarik, terutamanya dalam sektor defensif yang kukuh dari segi fundamental.
“Walaupun sentimen jangka pendek mungkin kekal berhati-hati disebabkan ketidaktentuan luaran, sokongan asas dalam indeks menunjukkan potensi penurunan mungkin terhad oleh pengumpulan terpilih.
“Dalam jangka pendek, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam mod pengukuhan dengan kecenderungan menaik sederhana, disokong oleh pemburuan murah dan kecairan domestik yang berdaya tahan. Kami menjangkakan indeks penanda aras akan bergerak dalam julat 1,710-1,730 untuk baki minggu ini,” tambahnya.
Pergerakan saham utama
Dalam kalangan saham berat, Maybank susut 18 sen kepada RM11.04, CIMB merosot sembilan sen kepada RM7.69, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.75, manakala Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM14.60, dan IHH Healthcare kekal pada RM8.81.
Dalam kalangan saham paling aktif, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, manakala UEM Sunrise meningkat 3.5 sen kepada 68.5 sen, MRCB naik tiga sen kepada 36.5 sen, Velesto Energy meningkat 2.5 sen kepada 34.5 sen, dan Zetrix AI susut setengah sen kepada 85.5 sen.
Antara kaunter untung teratas, Nestle naik 60 sen kepada RM102.90, Malaysian Pacific Industries meningkat 50 sen kepada RM38.00, Bintulu Port melonjak 30 sen kepada RM5.65, UMS Integration meningkat 20 sen kepada RM6.90, dan IOI Properties naik 16 sen kepada RM4.15.
Manakala kaunter rugi teratas, Hong Leong Industries jatuh 30 sen kepada RM17.50, Petronas Dagangan susut 26 sen kepada RM20.30, Sam Engineering merosot 21 sen kepada RM3.97, Petronas Gas turun 14 sen kepada RM17.82, dan UWC susut 11 sen kepada RM5.01.
Prestasi indeks dan sektor
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 55.54 mata kepada 12,743.20, Indeks FBM Top 100 berkurang 62.71 mata kepada 12,571.62, Indeks FBM Emas Shariah rugi 21.35 mata kepada 12,707.84, Indeks FBM Mid 70 merosot 71.87 mata kepada 18,198.10, tetapi Indeks FBM ACE meningkat 6.95 mata kepada 4,663.49.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 13.73 mata kepada 845.06, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 176.82 mata kepada 19,984.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.68 mata kepada 195.13, dan Indeks Perladangan turun 12.67 mata kepada 8,817.79.
Jumlah dagangan Pasaran Utama sedikit rendah pada 2.23 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 2.25 bilion unit bernilai RM3.07 bilion pada Selasa. Jumlah waran sedikit rendah pada 1.05 bilion unit bernilai RM134.02 juta daripada 1.18 bilion unit bernilai RM161.79 juta sebelumnya. Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 342.76 juta unit bernilai RM131.74 juta daripada 415.85 juta unit bernilai RM152.85 juta semalam.



