Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini apabila ketegangan geopolitik di Timur Tengah mereda, meningkatkan sentimen pasaran dan menggalakkan nada risiko yang lebih luas di kalangan ekuiti serantau, kata seorang penganalisis.
Pada pukul 5 petang, Indeks FBM KLCI naik 9.44 mata, atau 0.54%, kepada 1,756.87 daripada penutup semalam 1,747.43. Indeks penanda aras itu, yang dibuka 1.65 mata lebih tinggi pada 1,749.08, bergerak antara 1,746.80 dan 1,760.30 sepanjang hari.
Keadaan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi rugi 785 berbanding 503. Sebanyak 535 kaunter tidak berubah, 809 tidak didagangkan, dan 10 digantung. Jumlah dagangan meningkat kepada 3.98 bilion unit bernilai RM3.97 bilion berbanding 2.86 bilion unit bernilai RM2.59 bilion semalam.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Sedek Jantan, berkata indeks penanda aras disokong oleh kenaikan dalam kaunter perbankan, infrastruktur, perkapalan dan beberapa kaunter berkaitan tenaga, manakala penyertaan yang lebih kukuh dalam indeks FBM70 dan FBM Small Cap mencerminkan peningkatan dalam luas pasaran domestik.
“Sentimen pelabur turut disokong oleh penurunan harga minyak selepas tanda-tanda pengurangan risiko eskalasi melibatkan Iran, dengan minyak mentah Brent menurun di bawah AS$107 setong apabila pasaran semakin mengambil kira kemungkinan de-eskalasi dan gangguan bekalan yang berkurangan di sekitar Selat Hormuz.
“Kekuatan baharu dalam ekuiti AS, yang terus didagangkan berhampiran paras tertinggi, juga menyumbang kepada pengembalian aliran asing secara beransur-ansur ke pasaran sedang membangun, termasuk Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata jumlah dagangan keseluruhan masih belum menunjukkan peningkatan yang ketara walaupun prestasi pasaran yang lebih kukuh, menunjukkan pelabur kekal berhati-hati dan tidak mengejar kenaikan secara agresif pada paras semasa.
Beliau berkata walaupun prospek jangka pendek kekal positif, pengambilan untung secara berselang mungkin masih berlaku apabila indeks penanda aras menghampiri zon rintangan 1,760-1,770 berhampiran paras tertinggi baru-baru ini.
“Pelabur dinasihatkan terus memantau perkembangan di Timur Tengah dengan teliti, kerana konflik masih belum selesai sepenuhnya dan sebarang eskalasi baharu boleh menjejaskan sentimen pasaran dengan cepat,” katanya.
Thong menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,730-1,770 untuk baki minggu ini.
Dalam kalangan saham berat, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik dua sen kepada RM11.22 dan RM8.85. Public Bank dan CIMB Group masing-masing naik empat sen kepada RM4.79 dan RM7.93, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.80.
Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI naik 0.5 sen kepada 87 sen, YTL Corp melonjak 22 sen kepada RM2.31, V.S. Industry turun satu sen kepada 19 sen, dan Manforce turun 0.5 sen kepada 37.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung tertinggi, Malaysian Pacific Industries meraih RM3.90 kepada RM41.40, Unisem melonjak 27 sen kepada RM3.77, YTL Power International maju 23 sen kepada RM4.17, dan Sunway Construction meningkat 22 sen kepada RM7.10.
Dalam kalangan kaunter rugi tertinggi, Nestle jatuh 80 sen kepada RM100.90, Fraser & Neave Holdings turun 46 sen kepada RM29.10, Petronas Dagangan dan IOI Properties masing-masing turun 12 sen kepada RM20.22 dan RM4.21.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 76.15 mata kepada 12,963.49, Indeks FBM Top 100 melonjak 75.77 mata kepada 12,807.39, Indeks FBM Emas Shariah naik 58.72 mata kepada 12,925.27, Indeks FBM Mid 70 meraih 138.86 mata kepada 18,408.34, dan Indeks FBM ACE melonjak 60.93 mata kepada 4,662.00.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.15 mata kepada 197.52, Indeks Perladangan lemah 39.23 mata kepada 8,967.97, dan Indeks Tenaga turun 3.84 mata kepada 831.79, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 101.89 mata kepada 20,236.22.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM3.64 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Selasa. Jumlah dagangan waran berkembang kepada 1.21 bilion unit bernilai RM166.34 juta daripada 871.29 juta unit bernilai RM113.70 juta sebelumnya. Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 497.99 juta unit bernilai RM166.82 juta daripada 319.05 juta unit bernilai RM96.14 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 289.98 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (436.58 juta), pembinaan (205.75 juta), teknologi (384.77 juta), perkhidmatan kewangan (89.28 juta), hartanah (259.66 juta), perladangan (33.42 juta), amanah pelaburan hartanah (23.43 juta), dana tertutup (66,500), tenaga (228.45 juta), penjagaan kesihatan (78.78 juta), telekomunikasi dan media (83.58 juta), pengangkutan dan logistik (38.52 juta), utiliti (124.04 juta), dan amanah perniagaan (258,000).



