Kerajaan Madani terus bekerjasama dengan BNM, industri perbankan jaga kestabilan sistem kewangan
Kerajaan Madani terus bekerjasama dengan BNM, industri perbankan

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Kerajaan Madani akan terus bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan untuk memastikan sistem kewangan negara kekal stabil, inklusif dan berpaksikan rakyat.

Inisiatif industri perbankan bantu individu dan MSME

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan selaras dengan usaha tersebut, industri perbankan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu pelanggan individu serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

“Inisiatif itu termasuk pengenalan kad kredit ‘asas’, pemansuhan yuran RM1 untuk pengeluaran tunai di mesin juruwang automatik (ATM) bank, dan bantuan bersasar untuk peminjam serta MSME yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghargai komitmen industri perbankan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, mampu milik dan bertanggungjawab.

“Dengan rakyat dan MSME berdepan tekanan kos dan cabaran aliran tunai, institusi kewangan mempunyai peranan penting dalam membantu pelanggan mereka dengan penyelesaian yang berhemah, tangkas dan berperikemanusiaan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada industri perbankan negara kerana menyahut seruan kerajaan untuk bergerak ke arah sistem kewangan yang lebih berperikemanusiaan,” tambah beliau.

Kad kredit asas dengan kadar pembiayaan lebih rendah

MOF menyatakan kad kredit “asas” akan menawarkan pilihan kredit yang lebih mudah, mampu milik dan inklusif bagi mereka yang memerlukan kemudahan untuk mengurus aliran tunai harian secara bertanggungjawab.

Produk baharu ini mengutamakan kadar pembiayaan yang lebih rendah berbanding ganjaran gaya hidup dan wang balik tunai yang lazim ditawarkan oleh kad kredit sedia ada.

“Kadar pembiayaan untuk kad tersebut akan dihadkan kepada 14 peratus setahun, berbanding had maksimum semasa 18 peratus setahun.

“Had kredit juga ditetapkan pada tahap yang lebih terkawal untuk menggalakkan penggunaan kredit secara berhemah, manakala pemegang kad kredit sedia ada boleh memindahkan baki kad kredit tertunggak ke akaun kad kredit asas tanpa sebarang yuran atau caj,” menurut kenyataan itu.

Pengeluaran tunai ATM tanpa yuran mulai Julai 2026

Selain itu, MOF memaklumkan bahawa mulai 1 Julai 2026, rakyat Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana ATM yang dikendalikan bank di Malaysia tanpa dikenakan yuran pengeluaran RM1.

MOF berkata inisiatif itu meliputi lebih 14,000 ATM di seluruh negara dan mencerminkan komitmen industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan asas lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Bantuan bersasar untuk peminjam terjejas konflik

Bagi peminjam yang terjejas akibat kejutan bekalan global dan konflik Asia Barat, kementerian itu memaklumkan bank juga menyediakan bantuan bersasar berdasarkan keperluan individu dan situasi aliran tunai.

Jenis bantuan termasuk moratorium pembayaran sementara, pengurangan ansuran dan lanjutan tempoh pinjaman.

“Sejak akhir April 2026, bank telah menerima dan memproses permohonan penjadualan semula dan penyusunan semula yang melibatkan pembiayaan berjumlah lebih RM4.7 bilion bagi lebih 1,100 peminjam.

“Pembiayaan kepada sektor PKS terus disalurkan, dengan pembiayaan PKS tertunggak berkembang 5.3 peratus pada Mei 2026,” tambahnya.

Kemudahan SRF berjumlah RM5 bilion

Di bawah Kemudahan Penstabilan dan Pemulihan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion, kira-kira RM1 bilion pembiayaan telah diluluskan setakat 25 Jun 2026 untuk sekitar 1,500 PKS yang terjejas teruk akibat konflik di Asia Barat.

MOF berkata industri perbankan juga komited untuk memproses permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja, dengan kira-kira RM4 bilion daripada peruntukan masih tersedia untuk bantuan lanjut.

Kementerian itu menggalakkan peminjam dan MSME yang terjejas untuk menghubungi bank mereka lebih awal bagi mendapatkan bantuan yang sesuai.

“Mereka juga boleh menerima sokongan tambahan melalui skim jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC), serta perkhidmatan nasihat dan bantuan kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga