PETALING JAYA, 6 Jun — Kerajaan menggunakan pendekatan pengurusan risiko yang kukuh dengan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga bagi memastikan bekalan tenaga negara mencukupi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Usaha cari sumber baharu
Beliau berkata kerajaan, melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak, tetap komited mencari sumber bekalan baharu, termasuk dari Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, bagi memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi tidak terjejas.
“Ini juga bermakna kita telah menjalin hubungan baharu. Sebahagian bekalan mungkin datang dari jauh dan lebih mahal sedikit, tetapi yang penting bekalan tenaga domestik mencukupi.
“Bagi arang batu, Malaysia terus bergantung kepada Indonesia sambil meluaskan sumber bekalan ke negara lain, termasuk AS dan Australia. Ini secara serentak mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber dan mengukuhkan keselamatan bekalan secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang di sini hari ini.
Langkah pengurusan risiko
Beliau menjelaskan langkah itu adalah kaedah pengurusan risiko yang baik kerana jika berlaku sebarang gangguan di negara pembekal, Malaysia masih mempunyai pilihan untuk meningkatkan bekalan dari sumber lain.
Program Mikro Kredit Turun Padang
Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan hari ini bahawa Program Mikro Kredit Turun Padang adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Madani untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro.
Menurut MOF, program ini menyediakan platform untuk berinteraksi dengan usahawan mikro di peringkat komuniti, memahami cabaran yang mereka hadapi, dan menyebarkan maklumat tentang pelbagai kemudahan pembiayaan, bantuan perniagaan, serta program pembangunan kapasiti yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
“Program ini juga mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan, mengembangkan operasi perniagaan, dan membina perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya.
Agensi pelaksana yang terlibat dalam program ini adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta Majlis Amanah Rakyat. — Bernama



