PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita berusia 37 tahun semalam selepas dua anaknya jatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru, yang mengakibatkan kematian salah seorang daripada mereka.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata wanita warga asing itu ditahan pada tengah hari dan telah direman selama empat hari, lapor Bernama. “Suspek tiada rekod jenayah dan juga negatif dadah,” katanya.
Rahaman berkata kes itu disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian dan penelantaran. Beliau berkata motif masih dalam siasatan. Beberapa saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Lebih awal hari ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha, berkata mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui di tingkat tujuh pangsapuri itu kira-kira jam 8 pagi. Abangnya yang berusia 10 tahun ditemui dengan kecederaan parah.



