Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa Amerika Syarikat supaya tidak menghukum pengeluar yang mematuhi syarat pencegahan buruh paksa, atau mengganggu hubungan perdagangan serta rantaian bekalan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Mekanisme semakan berkala dicadang
Dalam ulasan bertulis kepada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), FMM berkata ramai pengilang Malaysia yang mengeksport ke AS sudah tertakluk kepada syarat pematuhan buruh yang ketat ditetapkan pelanggan. Ini termasuk audit, kod tatakelakuan pembekal dan keperluan pengesanan rantaian bekalan.
FMM mengulas cadangan tindakan Seksyen 301 oleh AS, termasuk kemungkinan tarif, terhadap ekonomi yang didakwa tidak mempunyai larangan import ke atas barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa. Malaysia antara negara yang disasarkan.
Menurut FMM, antara cadangan utama dalam maklum balasnya ialah supaya USTR mewujudkan mekanisme semakan berkala, sekurang-kurangnya setahun sekali, bagi menilai sama ada kadar duti yang dikenakan terhadap barangan dari Malaysia masih perlu dan sesuai diteruskan.
Usaha pembaharuan Malaysia perlu diiktiraf
Presiden FMM Jacob Lee berkata mekanisme itu penting mengambil kira usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan Malaysia, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa yang diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani di Parlimen pada 23 Jun.
“FMM berpandangan usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan Malaysia wajar diiktiraf dalam sebarang penilaian USTR pada masa depan. Mekanisme semakan berkala akan menyediakan laluan praktikal supaya kemajuan dalam rangka kerja domestik Malaysia dapat dipertimbangkan secara adil dan tersusun,” katanya dalam kenyataan.
Lee berkata FMM menyokong penuh matlamat menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan global. Katanya, pendirian itu konsisten dengan usaha berterusan FMM bersama ahli, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam aspek pematuhan buruh, amalan perniagaan bertanggungjawab serta penelitian wajar rantaian bekalan.
Tarif tambahan bebankan perdagangan AS
Beliau berkata sebarang cadangan tarif tambahan tidak sepatutnya dilaksanakan dengan cara yang menghukum pengilang yang patuh kepada syarat, atau mengganggu hubungan perdagangan dan rantaian bekalan antara Malaysia dan AS yang sudah terbina sejak lama.
FMM turut berkata cadangan duti tambahan itu sendiri boleh membebankan perdagangan AS kerana meningkatkan kos kepada pengimport, pengilang dan pengguna di negara berkenaan, terutama apabila pembekal Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan khusus dan jangka panjang.
“Berdasarkan maklum balas ahli FMM, kos tarif itu mungkin dipindahkan sepenuhnya atau sebahagiannya kepada pelanggan di AS, dengan kemungkinan memberi kesan kepada harga, ketersediaan produk dan tempoh penghantaran. Oleh itu, FMM menggesa USTR mengekalkan pengecualian sedia ada di bawah Lampiran A, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik, semikonduktor serta rangkaian produk berkaitan yang penting kepada rantaian bekalan global. FMM juga meminta supaya barangan Malaysia yang sudah tertakluk kepada tarif Seksyen 232 tidak dikenakan layanan tarif berganda di bawah cadangan tindakan Seksyen 301,” katanya.
Langkah konkrit Malaysia perlu diambil kira
FMM berkata Malaysia sudah mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lalu untuk memperbaiki pematuhan buruh. Ini termasuk langkah pemulihan selepas Perintah Tahan Pelepasan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dalam sektor terjejas, pembaharuan terhadap amalan yuran pengambilan pekerja, serta pindaan undang-undang buruh.
Menurutnya, perkembangan itu wajar diambil kira sebagai sebahagian daripada konteks lebih luas ketika menilai tindak balas Malaysia terhadap risiko buruh paksa. FMM berkata pihaknya akan terus berhubung dengan kerajaan Malaysia, USTR dan pihak berkepentingan berkaitan bagi menyokong langkah menghapuskan buruh paksa, sambil memelihara perdagangan sah, kestabilan rantaian bekalan dan daya saing pengilang yang bertanggungjawab.



