Perkhidmatan ETS Malaysia Kembali Normal Selepas Gangguan Bekalan Elektrik
ETS Malaysia Kembali Normal Selepas Gangguan

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Kerja-kerja pembaikan susulan gangguan peralatan talian atas (ATA) di KM 458.872 di antara Stesen Tiroi dan Seremban telah selesai dan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) kini kembali beroperasi.

Lapan Perkhidmatan ETS Masih Mengalami Kelewatan

Bagaimanapun, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatan ETS di laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral masih mengalami kelewatan sementara bagi membolehkan jadual operasi distabilkan.

KTMB berkata setakat jam 3.30 petang ini, lapan perkhidmatan ETS masih mengalami kelewatan, iaitu tren EX9573 yang lewat tiga jam 34 minit, EP9524 (dua jam 35 minit), EP9326 (satu jam 40 minit), EP9428 (25 minit).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Turut mengalami kelewatan ialah tren EP9323 (dua jam 11 minit), EG9343 (satu jam 14 minit), EG9442 (dua jam 51 minit) dan EX9575 (satu jam).

Bayaran Balik Penuh dan Makanan Ringan

Menurut KTMB, penumpang ETS yang terjejas akibat kelewatan tren lebih daripada dua jam dan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan pada 14 Jun 2026 boleh mendapatkan bayaran balik penuh tambang di kaunter tiket.

“Sebagai langkah prihatin dan mengurangkan kesulitan yang dialami penumpang, KTMB juga menyediakan makanan dan minuman ringan kepada penumpang yang terjejas bagi perkhidmatan tren yang lewat lebih daripada dua jam sebagai tanda penghargaan atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang gangguan ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, anggota polis bantuan KTMB bersama-sama kakitangan operasi di Stesen Seremban turut membantu menguruskan pergerakan penumpang dan menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan perjalanan penumpang yang terjejas berjalan lancar.

Notifikasi Awal Dihantar

Menurut KTMB, sebaik sahaja gangguan dikenal pasti, notifikasi awal telah dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada penumpang yang terjejas bagi memaklumkan status semasa dan jangkaan kelewatan supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.

“KTMB sedang memantau pergerakan tren dengan teliti bagi memastikan jadual operasi dipulihkan sepenuhnya secepat mungkin,” kata kenyataan itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga