Bersatu tegur PAS jangan campur urusan disiplin dalaman parti
Bersatu tegur PAS jangan campur urusan disiplin dalaman

PETALING JAYA: Bersatu menegur PAS supaya tidak mencampuri urusan disiplin dalaman parti itu, susulan pertikaian berhubung cadangan menggantikan wakilnya dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah dan Kelantan.

Biro Politik Bersatu dalam kenyataan berkata setiap parti politik mempunyai tatacara etika serta disiplin yang perlu dipatuhi ahlinya, termasuk apabila tindakan diambil terhadap wakil rakyat yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri.

Katanya, dakwaan Bersatu mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Kedah dan Kelantan dengan mencadangkan rombakan membabitkan ahli exco dan timbalan speaker DUN adalah tidak berasas.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Keberadaan exco dan timbalan speaker itu di jawatan mereka adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu.

“Apabila Lembaga Disiplin Bersatu telah mengambil tindakan disiplin dan mereka tidak lagi menjadi ahli parti, maka parti menghantar cadangan nama pengganti,” katanya.

Kenyataan itu menyusul susulan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Jumaat lalu yang parti itu kecewa dengan campur tangan Bersatu dalam pelantikan exco dan timbalan speaker di Kedah serta Kelantan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah dan Kelantan dikuasai PAS.

Kenyataan Hadi dalam isu pelantikan exco Kedah mungkin merujuk pengganti Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani sebagai exco pertanian, perladangan dan pengangkutan yang dipecat Bersatu.

Turut dipecat Timbalan Speaker DUN Kedah Abdul Razak Khamis yang juga wakil rakyat Sungai Tiang.

Bersatu juga sedang merancang pengganti timbalan speaker DUN Kelantan susulan pemecatan Adun Kok Lanas Farid Mohamed Zawawi oleh Bersatu.

Mengulas lanjut, Biro Politik Bersatu menegaskan tindakan disiplin itu adalah hak parti terbabit dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia melalui surat bertarikh 7 Mei lalu memaklumkan ia dibuat selaras peruntukan perlembagaannya.

“Maka, PAS sebagai parti anggota dalam Perikatan Nasional sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota yang lain berkaitan hal disiplin parti,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga