Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak lelakinya dua tahun lalu.
Pertuduhan dibacakan
Tertuduh, Zainudin Zainal Abidin, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Dia dituduh mendera anaknya yang berusia 10 tahun dengan menendang perut dan menampar muka mangsa di sebuah rumah di Kampung Kijang di sini pada jam lebih kurang 7.30 malam, 11 Mei 2024.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jaminan ditetapkan
Mahkamah membenarkan Zainudin diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala Zainudin diwakili peguam Samsul Bahrin. — Bernama
Jika anda mengesyaki penderaan kanak-kanak, hubungi talian hotline berikut untuk sokongan percuma dan sulit:
- Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp 019-2615999 (24/7)
- Talian BuddyBear di 1800-18-2327(BEAR) (tengah hari hingga tengah malam setiap hari)
- One Crisis Centre (24/7) Wilayah Persekutuan di 03-26155555 (Hospital Kuala Lumpur), 03-61454333 (Hospital Sungai Buloh) atau 03-83124200 (Hospital Putrajaya)



