KOTA BHARU: Seorang askar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada hari ini terhadap pertuduhan mendera anaknya dua tahun lalu.
Zainudin Zainal Abidin, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Dia dituduh mendera anak lelakinya yang berusia 10 tahun dengan menendang perut dan menampar muka mangsa di sebuah rumah di Kampung Kijang di sini pada kira-kira jam 7.30 malam, 11 Mei 2024.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Zainudin diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala Zainudin diwakili peguam Samsul Bahrin.



