Setiausaha politik presiden PAS, Syahir Sulaiman, menegaskan bahawa setiap keputusan dalam parti itu dibuat secara musyawarah dan bukan ditentukan oleh Presiden Abdul Hadi Awang seorang diri, termasuk dalam soal kajian semula hubungan dengan Bersatu.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, tuduhan bahawa PAS mengamalkan sistem 'mullah' atau pendekatan diktator adalah tidak berasas. Beliau menjelaskan bahawa PAS mengamalkan syura dan musyawarah dengan al-Quran dan sunnah sebagai sumber tertinggi.
“PAS mempunyai mekanisme semak dan imbang di setiap peringkat, termasuk terhadap mursyidul am dan presiden; tiada yang terkecuali. Keputusan PAS dibuat secara kolektif, daripada akar umbi hingga ke peringkat pusat dan Majlis Syura, bukan ditentukan dari Rusila (Hadi),” katanya dalam satu kenyataan.
Rusila merujuk kepada Masjid Kampung Rusila, Marang, yang sering menjadi tempat Hadi menyampaikan kuliah agama. Presiden PAS itu juga merupakan Ahli Parlimen Marang.
Syahir yang juga penolong setiausaha agung PAS, menambah bahawa sebarang bentuk kajian, termasuk yang melibatkan kerjasama, adalah perkara biasa dalam usaha menambah baik perancangan atau perjalanan organisasi.
“Muhasabah itu perkara biasa. Kajian semula juga proses yang biasa. Contohnya belanjawan dan RMK, terdapat kajian separuh penggal, itu amalan biasa. Tempoh refleksi dan ruang konsultasi untuk memperbetul serta memperbaiki — apa yang perlu ditambah, ditolak, dikekalkan atau diganti,” katanya.
Jumaat lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN). Beliau menegaskan bahawa PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir, serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.
Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber dalaman Bersatu sebagai berkata bahawa isu yang dibangkitkan Hadi sebenarnya sudah diselesaikan secara konsensus selepas dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN. Sumber itu juga mengingatkan PAS bahawa PN adalah organisasi yang ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.
“Bercakap tentang hal dalaman kepada orang luar bukanlah caranya. Presiden PAS juga tiada kuasa veto untuk membatalkan keputusan MT. PN tidak guna sistem mullah,” kata sumber itu. Sistem ‘mullah’ merujuk kepada amalan pentadbiran atau pemerintahan yang didominasi oleh golongan ulama dalam politik dan negara.



