Kata dua Hadi kepada Bersatu demi buka laluan Hamzah, kata penganalisis
Hadi beri kata dua kepada Bersatu untuk laluan Hamzah

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mungkin cuba mendesak kemasukan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, dan penyokongnya dalam Perikatan Nasional (PN) dengan memberi kata dua kepada Bersatu, kata penganalisis.

Desakan Hadi untuk kekuatan PN

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, ketidaksenangan Hadi terhadap Bersatu yang menutup pintu kepada parti atau kumpulan baharu ke PN boleh difahami kerana gabungan itu memerlukan kekuatan tambahan dalam berdepan PRU16.

Menurutnya, PAS mungkin percaya Hamzah boleh membawa kekuatan akar umbi, kepakaran dalam strategi politik, dan pengalaman pentadbiran yang tidak ramai dimiliki pemimpin Bersatu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kritikan Hadi bukan sekadar teguran biasa tetapi boleh dibaca sebagai tanda beliau tidak sepenuhnya percaya kepada keupayaan Bersatu mengawal arus dalam PN. Beliau juga mahu memberi ruang kepada blok Hamzah yang dilihat lebih berstrategi dalam politik,” katanya kepada FMT.

Amaran Hadi kepada Bersatu

Jumaat lalu, Hadi memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, antara tindakan tersebut ialah pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju dengan usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke dalam PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkaitan permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan, ketiadaan keputusan itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Hamzah, yang mendakwa disokong 18 Ahli Parlimen Bersatu, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Krisis dalaman Bersatu

Hamzah dipecat Bersatu pada Februari lalu susulan krisis kepimpinan Bersatu. Turut berdepan tindakan sama beberapa Ahli Parlimen seperti Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, rasa tidak puas hati PAS terhadap Bersatu sudah lama wujud, tetapi kenyataan Hadi kali ini menunjukkan masalah itu semakin serius.

“Isu sebenar bukan sekadar Bersatu membuat keputusan tanpa berunding, tetapi masalah dalaman parti itu yang menghakis keyakinan penyokong terhadap PN. Itu dibimbangi PAS kerana masalah Bersatu akan memberi impak negatif, stigma negatif kepada PAS,” katanya.

Kemungkinan penjajaran baharu

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia tidak menolak kemungkinan penjajaran baharu PN mungkin menyaksikan Hamzah dan kumpulannya menjadi rakan utama PAS.

“Telah banyak ketegangan dan ia telah sampai kemuncak apabila penolakan terhadap Hamzah yang selama ini berjuang untuk PN,” katanya menyentuh peranan Hamzah sebagai timbalan pengerusi, setiausaha agung, dan ketua pembangkang sebelum ini.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berhujah bahawa PAS membuat pertimbangan untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu selepas menyedari banyak masalah yang dihadapi.

“PAS bersikap pragmatik dan mahu membuka pilihan bekerjasama dengan sebanyak mungkin parti, termasuk Umno. Bersatu pula masih terlalu yakin nama-nama yang kekal bersama Muhyiddin cukup untuk menjadikannya kingmaker, tetapi perkiraan itu mungkin tidak tepat,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga