GEORGE TOWN, 24 Mei — Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah menubuhkan tiga jawatankuasa baharu sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memperkukuh kesiapan gabungan itu di peringkat negeri.
Jawatankuasa Manifesto, Maklumat dan Mobilisasi
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata tiga jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Manifesto Pilihan Raya yang diketuai oleh Zairil Khir Johari dari DAP, Jawatankuasa Maklumat diketuai oleh Lee Boon Heng (PKR) dan Jawatankuasa Mobilisasi dipengerusikan oleh Zahar Zainul (Amanah).
“Penubuhan jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada isu seperti kadar keluar mengundi yang rendah, cara meningkatkan peratusan keluar mengundi dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan PH Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.
Kepimpinan PH Pulau Pinang dikekalkan
Beliau berkata jawatankuasa itu ditubuhkan dalam mesyuarat yang juga memutuskan untuk mengekalkannya sebagai pengerusi Majlis Pimpinan PH Negeri bagi penggal 2024/2026, manakala tiga timbalan pengerusi ialah Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dari PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Muhammad Faiz Fadzil (Amanah).
Beliau berkata barisan kepimpinan juga merangkumi tiga naib pengerusi iaitu Ramkarpal Singh (DAP), Dr Zaidi Zakaria (Amanah) dan Goh Choon Aik (PKR), manakala Lim Hui Ying (DAP) dilantik sebagai setiausaha dan Zulkiefly Saad (PKR) sebagai penolong setiausaha.
Kerjasama erat parti komponen
Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kerjasama erat dalam kalangan parti komponen PH negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan kesinambungan tadbir urus yang berkesan, pembangunan mampan di seluruh Pulau Pinang dan memperkasakan jentera akar umbi.
Mengenai kemungkinan sebarang persefahaman pilihan raya menjelang PRU16, Chow berkata ini tidak akan menghalang PH Pulau Pinang daripada meneruskan persiapan di semua kawasan yang pernah ditandingi gabungan itu sebelum ini.
“Kami mengambil maklum dinamik politik, terutamanya selepas Konvensyen PH di Johor Bahru. Apa-apa persefahaman pilihan raya yang mungkin timbul sebelum pilihan raya tidak akan menghalang kami daripada membuat persiapan di semua kawasan yang pernah kami tandingi,” katanya. — Bernama



