Kerajaan Kelantan kini giat meneroka potensi unsur nadir bumi (REE) yang dikenal pasti di kawasan seluas kira-kira 1,400 hektar di Ladang Subong, Gua Musang. Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, memaklumkan bahawa projek berkenaan masih berada di peringkat eksplorasi dan pensampelan bagi mengenal pasti potensi sebenar deposit REE sebelum sebarang aktiviti perlombongan dijalankan secara komersial.
Kerjasama dengan JOGMEC
Hilmi berkata, usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC). Kerajaan negeri juga kini dalam proses memberikan kelulusan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi negeri yang berminat untuk terlibat dengan usaha ini. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Kelstone Cosmos Laboratory di Pusat Perniagaan Bandar Baru Tunjong.
Pendekatan Kerajaan-ke-Kerajaan
Kerjasama itu dilaksanakan menerusi pendekatan kerajaan-dengan-kerajaan (G2G), melibatkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi untuk pembangunan industri REE. Hilmi menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan lesen melombong tuan punya (PML) bagi tujuan eksplorasi, namun sebarang aktiviti perlombongan tertakluk kepada kelulusan pelan operasi perlombongan (OMS), pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta penilaian impak alam sekitar (EIA).
“Kita mahu memastikan pembangunan industri REE di Kelantan ini berkembang sehingga ke peringkat hiliran tetapi dilaksanakan secara terkawal dan mematuhi piawaian alam sekitar,” katanya.
Kawalan Lombong Haram
Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata aktiviti perlombongan secara haram di Kelantan tidak serius dan masih terkawal memandangkan ia hanya melibatkan daerah tertentu. “Kita mempunyai pasukan khas untuk memantau kegiatan ini termasuk sudah menyita beberapa jentera yang terlibat dengan aktiviti tidak berlesen ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Rabu lepas, dua lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai melombong emas tanpa lesen di kawasan ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah, Jeli.



