Pendaftaran OKU Autisme Meningkat Lapan Kali Ganda Sejak 2015
Pendaftaran OKU Autisme Meningkat Lapan Kali Ganda

MELAKA, 24 Mei — Bilangan orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan autisme di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meningkat lapan kali ganda kepada 90,459 setakat 30 April, berbanding tahun 2015.

Peningkatan Berkat Kempen Kesedaran

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata peningkatan itu dipercayai berpunca daripada keberkesanan program dan kempen kesedaran mengenai autisme dalam kalangan ibu bapa, yang giat dilaksanakan kerajaan melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

“Ada kemungkinan pada 2015, ramai kanak-kanak sudah menghidap autisme, tetapi ramai masih tidak faham atau tahu apa itu autisme sehingga kesedaran meningkat selepas pelaksanaan pelbagai program,” katanya kepada pemberita.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pusat Perkhidmatan Autisme Bangi

Beliau berkata, kerajaan telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi sebagai projek perintis, yang mula menerima pendaftaran pada April dan dijangka beroperasi pada Jun ini. Kemudahan itu diwujudkan untuk meringankan beban ibu bapa mendapatkan rawatan atau terapi yang sesuai untuk anak-anak mereka.

PPA Bangi diuruskan oleh JKM dengan kerjasama NASOM dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Damansara Damia, menyediakan program intervensi awal berstruktur dan terapi pelbagai disiplin untuk membimbing kanak-kanak autisme berumur antara dua hingga 18 tahun.

Statistik Pendaftaran OKU

Setakat 30 April, seramai 839,535 OKU telah berdaftar di bawah JKM. Daripada jumlah itu, 339,097 individu (40.39 peratus) diklasifikasikan dalam kategori ketidakupayaan pembelajaran, yang mencatatkan pendaftaran tertinggi.

“Kerajaan akan terus memperkukuh penjagaan dan sokongan untuk komuniti OKU bagi memastikan mereka dapat menjalani kualiti hidup yang lebih baik, lebih berdikari, dan hidup secara inklusif selaras dengan aspirasi negara membina masyarakat penyayang dan mesra OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Asuhan Warga Emas dan OKU Zon Selatan sempena program Rhythm of Harmonious Life (RHYTHM), yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Kalsom Nordin.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga