KUCHING, 24 Mei — Seorang pemandu lori mengalami patah kaki kiri selepas dua buah lori bertembung di Kampung Buso, Jalan Bau-Kuching petang semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (Bomba) memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 2 petang dan menghantar anggota dari Balai Bomba Bau ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan dua buah lori yang bertembung. Seorang lelaki tersepit di tempat pemandu dan mengalami patah kaki kiri — dia masih sedar,” kata Bomba dalam kenyataan.
Pemandu lori yang satu lagi dilaporkan tidak cedera.
Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum diserahkan kepada paramedik untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 2.30 petang. — The Borneo Post



