CHONGQING: Tiga orang maut dan 17 lagi dilaporkan hilang selepas hujan lebat melanda Daerah Yongchuan di barat daya Chongqing, China, sejak Sabtu malam, menurut pihak berkuasa tempatan seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.
Dua lagi individu juga dilaporkan hilang selepas hujan melanda Daerah Beibei di majlis perbandaran yang sama. Operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan.
Bermula jam 2 petang hari ini, Chongqing telah menaik taraf Daerah Yongchuan kepada tindak balas kecemasan kawalan banjir Tahap-I di peringkat majlis perbandaran, manakala 29 daerah dan kaunti seperti Daerah Rongchang dan Daerah Beibei kepada tindak balas Tahap-II, dan sembilan daerah serta kaunti termasuk Daerah Yuzhong kepada tindak balas Tahap-III, menurut ibu pejabat kawalan banjir dan bantuan kemarau Chongqing.
Subdaerah Chashanzhuhai di Daerah Yongchuan mencatatkan hujan maksimum sebanyak 296.6 milimeter antara jam 2 pagi hingga 4 pagi Ahad, dengan intensiti hujan maksimum setiap jam sebanyak 103.6mm, menurut ibu pejabat operasi kawalan banjir dan menyelamat di tempat kejadian.
Hujan maksimum di Bandar Xinglong di Daerah Beibei mencapai 122.9mm antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi Ahad, dengan intensiti hujan maksimum setiap jam sebanyak 59.4mm, menurut biro pengurusan kecemasan daerah itu.
Hujan lebat telah melanda 22 daerah dan kaunti di Chongqing, dan paras air 22 sungai di majlis perbandaran itu telah melebihi paras amaran, menurut stesen pemantauan hidrologi Chongqing.
Suruhanjaya Pengurangan Bencana Kebangsaan China pada hari Ahad mengaktifkan tindak balas kecemasan Tahap-IV untuk banjir dan bencana geologi di Chongqing.
Pasukan telah dihantar ke kawasan yang terjejas bencana untuk menilai keadaan di lapangan dan membantu usaha bantuan bencana tempatan, termasuk memastikan keperluan asas kehidupan penduduk yang terjejas, menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan. — Bernama-Xinhua



