Polis menahan lapan individu pelbagai warganegara kerana disyaki menyalahgunakan dadah dalam satu serbuan di sebuah hotel popular di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur pagi ini.
Serbuan berkaitan kes kematian mengejut
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook berkata, serbuan itu dilakukan susulan kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa dari hotel tersebut ke jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
“Mayat mangsa telah menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik HKL pada tengah hari tadi. Punca kematian masih menunggu keputusan ujian makmal, dan kes ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hoo, berdasarkan maklumat yang diperoleh, satu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menyerbu bilik hotel mangsa kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Lapan individu ditahan
Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu yang terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki Singapura, dan seorang masing-masing dari Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
“Pemeriksaan juga membawa kepada rampasan satu bungkusan plastik jernih mengandungi bahan yang dipercayai ketamin seberat 1.5 gram, serta tiga pil yang disyaki ekstasi seberat 0.7 gram,” katanya.
Menurut Hoo, semua suspek telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama



